Wednesday, October 26, 2011

abstrak

KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
DAN KEPEMIMPINAN PENTADBIR DI SEKOLAH

Mohd.Ismail Bin Hj.Mohamood[1]
Penolong Kanan 1 ( Kurikulum Dan Pentadbiran )
SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur
_____________________________________________________________________
Abstrak

Pembangunan negara terutamanya pembangunan sumber manusia atau modal insan, bermula dalam sistem persekolahan. Untuk menghasilkan sumber manusia atau modal insan  yang berguna sekolah perlu memainkan peranan yang berkesan. Keberkesanan sekolah adalah bergantung sejauhmana barisan pentadbir mengurus sekolah dan merancang  pembangunan guru dan murid secara kolaboratif dan efektif . Di antara  faktor sekolah yang yang berkesan ialah aplikasi komunikasi berkesan  terutama di kalangan barisan pentadbir dan guru-guru. Di dalam sesebuah organisasi sekolah, komunikasi merupakan asas yang menyatupadukan aktiviti semua fungsi yang wujud. Dengan adanya saluran komunikasi di dalam organisasi tersebut, setiap individu bukan sahaja dapat berinteraksi, memahami dan bertukar-tukar maklumat antara satu dengan lain, tetapi juga dapat mewujudkan kerjasama yang berterusan. Dengan yang demikian, kecekapan perjalanan sesebuah organisasi itu bergantung kepada sejauh mana baiknya saluran komunikasi itu berjalan.  Saluran komunikasi merupakan laluan mesej yang mengalir dari individu ke individu lain atau kedua-duanya sekali. Begitu juga cara berkomunikasi dengan murid juga memberi impak yang besar dalam menentukan kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah mereka dalam proses membina seorang insan yang berwasasan dan berketrampilan sejak dari bangku sekolah dan akan terselah kehebatannya setelah mereka menceburi alam kerjaya.
Dewasa ini guru adalah tenaga terpenting dalam rangka melahirkan generasi dan membentuk mereka menjadi pewaris untuk pembangunan bangsa dan negara. Guru merupakan pembentuk karektar anak bangsa agar mereka sedar bahawa merekalah penggerak perubahan madani. Oleh demikian guru seharusnya mempunyai kemahiran-kemahiran profesionalisme untuk menjadi “character builder” agar guru mampu mendidik murid dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Justru guru perlu mengetahui apakah keperluan yang diperlukan oleh murid dari aspek fizikal, keintlektualan, emosi, kerohanian, psikological, biological dan ‘human being’. Proses menolong dalam pendidikan adalah satu pendekatan ke arah memenuhi tuntutan amanah tersebut dalam membantu murid-murid memperkembangkan potensi yang tersedia ada pada mereka. Akhirnya keseimbangan JERI akan tercapai dan proses kematangan EQ ( emosional qualities) berjaya terbentuk dalam diri seoarang murid.
Sesungguhnya untuk mencapai kecemerlangan dalam konteks pendidikan di sekolah dan keberkesanan komunikasi  bentuk dan gaya kepemimpinan pentadbir sekolah perlu dimantapkan ke arah mewujudkan mekanisme ‘instrinsic motivation’ dan iklim persekitaran dan suasana kerja sebagai sebuah organisasi  yang memberangsangkan  dan soleh.



[1] Ustaz Mohd.Ismail Hj.Mohamood ( B.A( Hons ) Syariah  ) adalah seorang kaunselor dan sekarang bertugas di SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur sebagai Penolong Kanan 1 ( Kurikulum dan Pentadbiran  - Pemangku Pengetua ).

No comments:

Post a Comment