Wednesday, October 26, 2011

abstrak

KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
DAN KEPEMIMPINAN PENTADBIR DI SEKOLAH

Mohd.Ismail Bin Hj.Mohamood[1]
Penolong Kanan 1 ( Kurikulum Dan Pentadbiran )
SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur
_____________________________________________________________________
Abstrak

Pembangunan negara terutamanya pembangunan sumber manusia atau modal insan, bermula dalam sistem persekolahan. Untuk menghasilkan sumber manusia atau modal insan  yang berguna sekolah perlu memainkan peranan yang berkesan. Keberkesanan sekolah adalah bergantung sejauhmana barisan pentadbir mengurus sekolah dan merancang  pembangunan guru dan murid secara kolaboratif dan efektif . Di antara  faktor sekolah yang yang berkesan ialah aplikasi komunikasi berkesan  terutama di kalangan barisan pentadbir dan guru-guru. Di dalam sesebuah organisasi sekolah, komunikasi merupakan asas yang menyatupadukan aktiviti semua fungsi yang wujud. Dengan adanya saluran komunikasi di dalam organisasi tersebut, setiap individu bukan sahaja dapat berinteraksi, memahami dan bertukar-tukar maklumat antara satu dengan lain, tetapi juga dapat mewujudkan kerjasama yang berterusan. Dengan yang demikian, kecekapan perjalanan sesebuah organisasi itu bergantung kepada sejauh mana baiknya saluran komunikasi itu berjalan.  Saluran komunikasi merupakan laluan mesej yang mengalir dari individu ke individu lain atau kedua-duanya sekali. Begitu juga cara berkomunikasi dengan murid juga memberi impak yang besar dalam menentukan kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah mereka dalam proses membina seorang insan yang berwasasan dan berketrampilan sejak dari bangku sekolah dan akan terselah kehebatannya setelah mereka menceburi alam kerjaya.
Dewasa ini guru adalah tenaga terpenting dalam rangka melahirkan generasi dan membentuk mereka menjadi pewaris untuk pembangunan bangsa dan negara. Guru merupakan pembentuk karektar anak bangsa agar mereka sedar bahawa merekalah penggerak perubahan madani. Oleh demikian guru seharusnya mempunyai kemahiran-kemahiran profesionalisme untuk menjadi “character builder” agar guru mampu mendidik murid dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Justru guru perlu mengetahui apakah keperluan yang diperlukan oleh murid dari aspek fizikal, keintlektualan, emosi, kerohanian, psikological, biological dan ‘human being’. Proses menolong dalam pendidikan adalah satu pendekatan ke arah memenuhi tuntutan amanah tersebut dalam membantu murid-murid memperkembangkan potensi yang tersedia ada pada mereka. Akhirnya keseimbangan JERI akan tercapai dan proses kematangan EQ ( emosional qualities) berjaya terbentuk dalam diri seoarang murid.
Sesungguhnya untuk mencapai kecemerlangan dalam konteks pendidikan di sekolah dan keberkesanan komunikasi  bentuk dan gaya kepemimpinan pentadbir sekolah perlu dimantapkan ke arah mewujudkan mekanisme ‘instrinsic motivation’ dan iklim persekitaran dan suasana kerja sebagai sebuah organisasi  yang memberangsangkan  dan soleh.



[1] Ustaz Mohd.Ismail Hj.Mohamood ( B.A( Hons ) Syariah  ) adalah seorang kaunselor dan sekarang bertugas di SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur sebagai Penolong Kanan 1 ( Kurikulum dan Pentadbiran  - Pemangku Pengetua ).

kertas kerja 1

KEPERLUAN MURID  DALAM PROSES  MENOLONG
DAN PERANAN GURU UNTUK MEMPERKEMBANGKAN  POTENSI MEREKA

Mohd.Ismail Bin Hj.Mohamood
Penolong Kanan 1 SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur
_______________________________________________________________________
Abstrak

Dewasa ini guru adalah tenaga terpenting dalam rangka melahirkan generasi dan membentuk mereka menjadi pewaris untuk pembangunan bangsa dan negara. Guru merupakan pembentuk karektar anak bangsa agar mereka sedar bahawa merekalah penggerak perubahan madani. Oleh demikian guru seharusnya mempunyai kemahiran-kemahiran profesionalisme untuk menjadi “character builder” agar guru mampu mendidik murid dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Justru guru perlu mengetahui apakah keperluan yang diperlukan oleh murid dari aspek fizikal, keintlektualan, emosi, kerohanian, psikological, biological dan ‘human being’. Proses menolong dalam pendidikan adalah satu pendekatan ke arah memenuhi tuntutan amanah tersebut dalam membantu murid-murid memperkembangkan potensi yang tersedia ada pada mereka. Akhirnya keseimbangan JERI akan tercapai dan proses kematangan EQ ( emosional qualities) berjaya terbentuk dalam diri seoarang murid.


1.0      PENDAHULUAN
Motivasi  merupakan  satu  penggerak dari dalam hati seseorang untuk melakukan atau inginkan mencapai sesuatu matlamat.  Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rancangan atau kehendak untuk menuju kejayaan dan mengelakkan dari kegagalan hidup. Dengan kata lain  motivasi adalah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan  diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperolehi kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan.. Dengan adanya motivasi, maka wujudlah kerjasama, sifat suka tolong-menolong antara satu sama lain..  Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang.  Di sini motivasi boleh ditakrifkan sebagai kebolehan  atau persetujuan yang dilaburkan untuk mengembangkan potensi dan tenaga demi mencapai matlamat atau juga penghargaan.  Oleh yang demikian motivasi adalah merupakan keadaan apabila keperluan manusia itu dipenuhi dengan diberi ganjaran dan sesuatu status yang baik.  Ekoran daripada itu, mereka akan bekerja dengan lebih baik kerana tiada lagi kebimbangan, rasa  selamat dan kehidupan yang terjamin  telah tersedia untuk mereka.  Begitu juga dengan kepuasan, jika seseorang itu diberi motivasi, maka secara tidak langsung kehendak mereka telah dipenuhi . Terpenuhnya kehendak dan kemahuan oleh seseorang itu boleh memberikan suatu kepuasan yang tidak terhingga pada diri seseorang.  Pada masa yang sama guru juga menjadi “motivator” kepada pelajar-pelajarnya untuk berjaya dalam kehidupan mereka.  Seorang guru yang baik mesti mempunyai motivasi yang dinamik, cekap dan sentiasa berusaha untuk memajukan serta meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Guru yang bermotivasi juga mempunyai tenaga untuk menjadi penggerak kepada pelajar-pelajarnya.
 Pelajar yang bermotivasi ialah pelajar yang mempunyai minat untuk belajar bagi mencapai matlamatnya.  Mereka akan mendengar dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajarannya.  Mereka aktif di dalam dan di luar kelas, mudah bertindak dan sedia menerima teguran dan arahan guru.  Mereka boleh berdikari dan suka memberikan pandangan dan pendapat dalam kelas.  Pelajar-pelajar seperti ini mempunyai penggerak dalam dirinya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan juga dalam hidup keseluruhannya.  Oleh itu pengajaran dan pembelajaran  yang berkesan di sekolah boleh dicapai melalui guru dan pelajar yang sentiasa bermotivasi. Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.  Adakalanya manusia bertindak berdasarkan perasaan dan nalurinya sendiri dan juga kadang-kala dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling.  Melalui apa cara pun, manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia akan mencari jalan yang paling mudah untuk mencapai matlamat tersebut

2.0 Konsep Menolong

Menolong adalah suatu proses yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata sebab ia mempunyai makna-makna persendirian bagi tiap-tiap individu. Menolong seseorang manusia lain adalah pada dasarnya suatu proses untuk membolehkan orang itu berkembang mengikut arah-arah yang dipilihnya  bermakna memilih matlamat perkembangannya sendiri tetapi juga menentukan  samada ia mahukan pertolongan.
Dalam Islam, konsep menolong menjadi satu kewajipan muslim sebagaimana firman Allah “
Ertinya : Bertolong-tolonglah kamu dengan kebaikan dan taqwa dan jangan kamu bertolongan di atas kejahatan .

Rajah 1. Satu Formula Untuk Proses  Menolong

Personaliti
Penolong          +
Kemahiran-kemahiran          =        Menolong
Keadaan yang menggalakkan       perkembangan


Hasil-hasil Khusus
tret
sikap
nilai
untuk kefahaman
untuk keselesaan
untuk tindakan
kepercayaan
hormat-menghormati
kebebasan
untuk seseorang
untuk masyarakat

Digambarkan dalam rajah 1 ; bahawa personaliti orang yang menolong digabungkan dengan kemahiran-kemahiran khusus akan menghasilkan keadaan – keadaan perkembangan  yang akan membawa kepada hasil tertentu yang penting kepada seseorang dan masyarakat. Manakala personaliti  dan kemahiran orang yang menolong merupakan unsur-unsur asas di dalam proses menolong.
3.0 Teori Keperluan Dan Motivasi Maslow
Menolong bererti memberi keadaan – keadaan kepada yang ditolong untuk memenuhi keperluan-keperluannya.  Maslow ( 1962) mengatur kan keperluan-keperluan ini dalam bentuk hieraki kompleks yang saling berhubung yang mengandungi lima peringkat menurut  keperluannya bagi kewujudan manusia.
Struktur dan fungsi di dalam badan organisme mempunyai keperluan yang tertentu.  Telah diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks.   Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat.  Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu.  Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi.  Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. 
Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti rajah 1 di bawah.:

Rajah 1 ; Hieraki Teori Keperluan Maslow

                                                         













Harga diri

 



Kasih sayang dan rasa milik
 



Keselamatan
 


Fisiologi ( makan,minum dan tempat tinggal )

 












Model Maslow yang berbentuk peringkat itu merupakan perkembangan ‘ontological’ individu kerana setiap peringkat perkembangan perlu dilalui oleh individu misalnya pada masa bayi atau kanak-kanak, individu memerlukan perlindungan dan keselamatan, diikuti dengan kasih-sayang, dan penghormatan diri dan keperluan ini terus bertambah sehingga kepada peringkat penyempurnaan kendiri.  Kajiannya mendapati semakin tinggi keperluan individu itu maka semakin kurang pergantungan kepada persekitaran social kerana dalam hal ini individu menggunakan pengalaman lampau untuk menentukan tingkah-lakunya.  Pada masa ini motivasi bergantung kepada kemahuan dalaman, kemampuan, potensi, bakat, dan kreativiti impuls individu.  Sementara itu persekitaran sosial merupakan faktor desakan dalam mencapai kemahuan ini.  Maka dengan itulah juga Maslow menamakan keperluan peringkat terbawah sebagai keperluan kekurangan dan peringkat paling tinggi sebagai keperluan perkembangan. 
3.1       Keperluan Fisiologi
Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah penting bagi kehidupan sesuatu organisme, apatah lagi manusia.     Keperluan asas ini merangkumi apa yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal.  Membicarakan teori motivasi Maslow dalam konteks pendidikan, pelajar-pelajar yang mendapat kurang makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan kesihatan pelajar terganggu atau terjejas.  Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, para guru sepatutnya memberikan perhatian dan mengambil berat kepada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal pelajar itu.  Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi pelajar akan kurang bermotivasi atau berminat terhadap pelajaran. 
 Selain itu, salah satu lagi yang termasuk dalam keperluan asas manusia adalah keperluan seks.  Keperluan ini akan mencapai kemuncaknya apabila seseorang itu mencapai peringkat baligh.  Guru mesti bijak mengajar murid bagaimana konsep seks dalam aplikasi agama.
3.2       Keperluan Keselamatan
Telah menjadi lumrah setiap yang bernyawa, aspek keselamatan amat penting dalam hidup.  Demikianlah tiap-tiap individu memerlukan keperluan ini tetapi dengan kekuatan yang berbeza-beza..  Ada individu yang kurang mempunyai keperluan ini dan menjadikannya lebih gemar bersendirian, tetapi ada individu yang mempunyai keperluan ini dengan kuatnya sehingga menjadikannya bergantung di dalam banyak hal kepada orang lain.  Keperluan ini boleh jadi timbul daripada keadaan anak-anak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa ia bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan keperluan ini agar ia sentiasa dilindungi.  Sebagai contoh semasa dalam kesakitan seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa.  Sikap kepekaan dan keprihatinan seorang ibu atau bapa yang bertanggungjawab diharapkan demi menjaga keselamatannya dan hasil penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa kepada seseorang kanak-kanak.
 Hal yang sedemikian turut berlaku di dalam kelas.  Pelajar-pelajar memerlukan keselamatan daripada seorang guru iaitu dalam bentuk disiplin.  Oleh itu dari peringkat awal lagi, kanak-kanak perlu diajar akan disiplin ini.  Mereka tidak boleh dibiarkan mendisiplinkan diri mereka sendiri.  Sebagai seorang yang berpengalaman, wajarlah ibu bapa memainkan peranannya dalam mendidik dan mengajari kanak-kanak mereka. 
 Di dalam kelas guru pula berperanan besar.  Keselamatan di dalam kelas dapat dijamin jikalau seseorang guru itu bertindak dengan konsisten.  Ini kerana pelajar-pelajar itu akan dapat belajar dengan lebih berkesan jika mereka dapat mengetahui perasaan atau ‘mood’’ guru itu.  Contohnya, cara seseorang guru itu memberikan arahan.  Semestinya setiap arahan yang diberi tidak bercanggah.  Di samping itu apa yang penting juga guru seharusnya ada sikap toleransi terhadap para pelajarnya.  Ini kerana pelajar-pelajar akan berasa selamat dan membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran.
3.3     Keperluan Kasih-sayang 
Berdasarkan Teori Maslow, turut diperlukan keperluan ini  untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri.  Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, pelajar kadang-kadang akan berasa terganggu apabila terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain.  Mereka berasakan diri dan emosi mereka berada di dalam keadaan yang tidak stabil menyebabkan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran mereka.  Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan tegang jikalau mereka dimarahi pula oleh guru dan dikenakan denda.  Situasi ini akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelajar terbabit dan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai, atau tidak dipedulikan oleh guru mahupun kawan-kawan. Ekoran daripada itu keinginan, minat, juga kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan pudar dan lenyap.  Dalam konteks ini, guru perlulah memberi tunjuk-ajar kepada mereka dengan menasihati atau mengadakan sesi kaunseling untuk mengeratkan hubungan yang baik sesama mereka.  Apa yang penting juga ini akan dapat memelihara hubungan yang baik dan mesra di antara pelajar dengan guru.   Melalui cara ini, pelajar akan merasakan mereka diterima, dihormati, serta dihargai oleh anggota lain dalam komuniti yang kecil dan mereka ada hak milik keanggotaan dalam komuniti tersebut.  Secara tidak langsung, proses pengajaran pembelajaran berjalan dengan baik, harmonis, lancar, dan berkesan  kerana masing-masing individu telah dapat memenuhi keperluan kehendaknya. 
3.4     Keperluan Penghargaan Kendiri / harga diri
Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu  sebagai manusia unik yang bebeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran.Penerimaan bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri.Penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa tersingkir.Murid yang diterima kerap kali memperolehi prestasi akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya. Murid yang diterima merasai diri mereka dihargai, dikasihi dan bernilaai.Oleh itu mereka dapat berinteraksi secara positif membincangkan masalah pembelajaran dalam kumpulan.Guru perlu menyediakan aktivviti seperti projek-projek bagi setiaap murid supaya mereka dapat berdamping dan mendampingi murid yang lain. Setiap individu memerlukan penilaian yang tinggi dan stabil tentang diri mereka.  Bagi memenuhi kehendak atau membolehkan perkara ini berlaku, terlebih dahulu seseorang itu perlu menghormati dirinya sendiri dan berusaha pula menjadikan dirinya dihargai oleh orang lain.  Faktor yang penting ialah keperluan ini dapat dipenuhi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan diri dan kebebasan, juga pengiktirafan, perhatian, dan penilaian diri orang lain.  Konsep ego seseorang itu berkait rapat dengan perasaan penghargaan diri.  Berdasarkan Saedah, Zainun, dan Tunku Mohani (1996 : 13) mengungkap kata-kata Kubiniec, 1970, ‘Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai kejayaan akademik  Ini bertepatan sekali jika dihubungkaitkan dengan diri seseorang pelajar itu.  Rasa ingin tahu mempunyai pertalian yang erat untuk memenuhi kehendak ini.  Rasa ingin tahu ini juga akan menggerakkan pelajar tersebut mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang menarik perhatian mereka.  Keinginan ini juga mendorong pelajar untuk belajar dan mencari pengetahuan dengan membaca buku, mentelaah, menjalani proses pembelajaran atau mencuba berbagai-bagai perkara yang belum dialaminya.  Oleh itu menjadi tugas seseorang guru memberikan tugasan, yang sesuai untuk diterokai serta yang mampu dan boleh dilaksanakan oleh pelajar.  Pelajar akan merasakan diri mereka penting apabila sesuatu tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.  Ini dapat memupuk diri pelajar untuk lebih berkeyakinan seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya makin meluap-luap.  Seseorang guru juga perlu berusaha dan memastikan  jangan ada pelajarnya yang gagal atau tercicir kerana mereka ini akan merasakan penghargaan dirinya amat rendah.
3.5       Keperluan Penyempurnaan Kendiri
Konsep kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa ( Shaffer,1985 ).Ia membawa maksud bagaimana seseorang individu itu berpendapat dan menganggap dirinya.Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang itu boleh jadi, ia mesti jadi, iaitu potensinya dilahirkan.  Anggapan dan pendapat itu adalah berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya.Kesedaran itu pula lahir daripada maklum balas, gerakbalas atau preaksi individu lain disepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan individu lain.  Cohen (1959) menjelaskan bahawa orang yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi dikonsepsikan sebagai orang yang menyukai atau menghargai dirinya dengan melihat dirinya berkebolehan  dalam hubungan dengan dunia luar. Manakala mereka yang mempunyai konsep kendiri yang rendah pula melihat dirinya sebagai orang yaang membenci dan tidak menghargai dirinya.Iaitu seseorang yang tidak berkebolehan untuk berhubung secara berkesan dengaan persekitarannya. Peringkat penyempurnaan kendiri ini adalah peringkat yang paling tinggi dan hanya diperolehi apabila semua keperluan peringkat bawah itu telah dipenuhi.  Demikian pula mengikut Atan Long (1976 : 148) daripada Maslow (1970),  keperluan untuk penyempurnaan kendiri itu adalah keperluan yang menjadi kemuncak atau yang tertinggi di dalam peringkat sistem keperluan manusia.  Keperluan ini hanya dapat dicapai setelah seseorang itu memenuhkan keperluan lain yang terdapat pada peringkat yang lebih bawah di dalam sistem keperluan tadi.  Menurutnya lagi, keperluan penyempurnaan diri ini merupakan pemenuhan keseluruhan keperluan manusia.  Ini bermakna seseorang yang telah mencapai peringkat ini telah dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan keindahan dan estetika; ia telah dapat dengan sepenuhnya akan makna hidup; ia dapat menerima keadaan dirinya dan orang lain; ia merasakan gembira tentang nikmat hidup dan telah menggunakan kebolehannya dengan semaksimanya. Penerimaan diri berlaku melalui sosialisasi dengan individu lain.Sikiranya individu itu diterima oleh orang lain, dia juga akan menerima dirinya.Penerimaan diri boleh mempengaruhi tindak tanduk individu dalam menghadapi  cabaran hidup ini.Manakal perhargaan diri pula bermaksud sikap penerimaan atau tidak penerimaan individu terhadap dirinya.Individu yang tinggi penghargaan dirinya selalu berkebolehan membenteras dan mengatasi kegawatan persenoliti serta kurang upaya mengendalikan masalah yang timbul dalam hidupnya. Untuk membina konsep kendiri yang positif ibu pada dan para pendidik perlu memberi dorongaan, bantuan dan sokongan kepada murid. Bantuan kemudahan dan sokongan moral perlu dalam pembelajaran mereka. Ibu bapa dan pendidik juga perlu  menyediakan segala jenis pengalaman hidup untuk membantu murid mengembangkan bakat atau potensi mereka.  Dalam meniti arus kehidupan untuk membantu murid mengembangkan bakat  atau potensi mereka. Di sekolah, terdapat banyak ruang atau peluang-peluang yang diberi atau disediakan kepada pelajar-pelajar untuk mencapai peringkat penyempurnaan kendiri ini seperti pemilihan aktiviti oleh pelajar sendiri, rancangan belajar yang bebas juga sesi bimbingan kaunseling.  Melalui aktiviti-aktiviti tersebut pelajar dapat memilih jenis pengetahuan atau kemahiran yang mereka kehendaki dan mereka juga bebas menggunakan masa untuk mengembangkan pengetahuan atau kemahiran itu  Apabila pelajar berusaha untuk mencapai peringkat penyempurnaan kendiri, maka mereka mesti belajar dengan tekun, bersungguh-sungguh, serta melipatgandakan usaha melalui arah yang tegas dan berdisiplin.  Di samping itu pelajar juga perlu mengetahui had aktiviti mereka.  Dalam membantu para pelajar berjaya mencapai sehingga peringkat ini, guru perlu memainkan peranannya.  Guru harus membantu menyuburkan minat, bakat, juga kebolehan pelajar dengan menjadi pembimbing atau fasilitator kepada mereka.  Dengan ini pelajar dan guru berjalan seiringan dalam memenuhi satu matlamat.  Kesan daripada itu proses pengajaran serta pembelajaran dapat ditingkatkan seterusnya mendatangkan manfaat kepada semua pihak.
3.6        Keperluan Mengetahui
Keperluan mengetahui adalah berkaitan dengan perasaan ingin tahu sesuatu perkara.  Ia berhubung juga dengan keperluan mencari, menyusun serta menganalisis sesuatu maklumat.  Untuk mengetahui sesuatu perkara, seseorang itu mestilah berusaha mencari jawapan mengenai makna kehidupannya dan tentang kewujudan dirinya.   Dalam konteks sekolah, guru mestilah sentiasa mengajar dengan cara ikuiri penemuan dan kajian supaya semua pelajar dapat melibatkan diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif.
3.7       Keperluan Estetik
Keperluan estetik adalah merujuk kepada keperluan manusia untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya.  Salah satu untuk memiliki perasaan tersebut adalah dengan cara memiliki barangan yang cantik dan mempunyai unsur-unsur kesenian dalam dirinya.    Akibat keperluan ini manusia sanggup membelanjakan beratus malahan beribu ringgit untuk memiliki barangan yang indah . Dalam konteks sekolah pula, pelajar perlu digalakkan supaya lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan mereka seperti dalam bidang drama, muzik/nasyid dan sebagainya.
4. Teori Emosi
Kestabilan emosi merupakan salah satu elemen terpenting yang disarankan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu marhalah emosi dalam pembelajaran sangat penting untuk difahami. Gangguan emosi dalam pembelajaran akan mempengaruhi prestasi akademik seseorang murid. Oleh yang demikian pemahanan terhadap beberapa domain-domain emosi dari sudut pandangan beberapa tokoh dan pengkaji dalam bidang pendidikan dapat membantu mengenalpasti ketidakstabilan emosi di kalangan murid.
Emosi adalah signifikan di dalam tingkahlaku manusia. Interaksi `inter-personal’ berlaku apabila sesuatu pertemuan individu menggunakan bahasa lisan mungkin mempunyai pengaruh emosi yang sangat kuat. Penguasaan bahasa lisan oleh kanak-kanak berkait rapat dengan peniruan penguasaan bahasa lisan oleh kanak-kanak yang lebih dewasa sedikit. Bahasa ini datangnya dengan mengandungi (imbued) dengan segala tenaga dan kepelbagaian suara yang hidup, maknanya yang jelas, dan diperbesarkan `enhanced’ dengan intonasi, takanan, lantang dan `pace’. Suara yang terdengar mungkin berbunyi marah, penuh kasih sayang atau cemas (Donaldson, (1984). Jadi kualiti suara memainkan peranan yang signifikan dalam perspektif emosi kanak-kanak hingga ke dewasa.
Keran (1996) mengatakan manusia mencari satu keadan selesa atau `a hedinik frame of reference’ sebagai satu asas bagi semua tingkah lakunya. Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keadaan ini adalah seperti kelaparan, kesakitan, marah, seks, dan naluri ingiin tahu. Faktor-faktor ini boleh mempengaruhi emosi semasa membuat keputusan dan juga mempengaruhi keperluan untuk tindakan-tindakan yang lain. Berasaskan saranan Hirarki Keperluan Maslow (1954), emosi individu akan menerajui proses membuat keputusan. Jadi untuk mencari keselesaan, seseorang mungkin melepaskan keuntungan (trade-off) dalam jangkamasa yang lama untuk mencapai keuntungan jangka pendek semata-mata untuk memuaskan nafsu yang dominan dalam situasi-situasi yang tertentu.
Singer (1975) menyatakan emosi berkait rapat dengan fantasi yang mempunyai tiga pola khayalan yang berkait rapat dengan ciri-ciri tret tersebut. Pola-pola ini mempunyai aspek-aspek positif seperti kegembiraan; tidak berfokas pada suatu fantasi; aspek negatif seperti rasa bersalah. Dalam keadaan fantasi, kanak-kanak akan mempamerkan emosi menurut fantasi yang dikhayalkan pada ketika itu. Harre dan Lamb (1986:84) mendapati tingkahlaku berasaskan emosi boleh berubah dalam perjalanan hidup seseorang. Mereka menadangkan 5 domain dalam perkembangan emosi;
·                     Emosi berkembang melalui situasi-situasi yang dirancangkan dapat mewujudkan matlamat-matlamat yang diingini dari sgi persepsi, koginsi dan pembelajaran.
·                     Emosi juga berkembang melalui perubahan-perubahan semasa reaksi-reaksi individu semasa menyesuaikan diri pada sesuatu tugasan atau keadaan.
·                     Ekspresi emosi boleh berubah selaras dengan perkembangan umur.
·                     Keadaan emosi mengalami tranformasi semasa proses perkembangan
·                     Ekspresi-ekspresi menjadi `sosialised’ iaitu ekspresi dipengaruhi oleh budaya, atau persekitaran penduduk, misalnya individu harus menggunakan bahasa lisan dan bukannya ekspresi (muka yang marah.
Ekspresi emosi berlaku dari peringkat bayi hingga ke dewasa. Bayi mampu menunjukkan emosi melalui banyak viarasi dalam suara, mimik muka dan postur badan. Reaksi ini bertujuan untuk berkomunikasi, mengekekalkan pertalian kasih sayang dengan penjaga (Trevathen, 1979).
Terdapat pelbagai jenis emosi yang dialami seseorang dari peringkat bayi hingga ke peringkat dewasa .Pluchik (1989) menyatakan perkara- perkara berikut mengenai emosi;
·                     Emosi adalah usaha dalam individu untuk melaksanakan kawalan pada kejadian-kejadian berkaitan dengan kehidupan.
·                     Emosi adalah rangkaian yang kompleks, peristiwa-peristiwa yang empunyai elemen-elemen yang penting seperti idea, imej atau peristiwa-peristiwa yang melibatkan individu yang lain
·                     Kompleksiti keadaan emosi bergantung kepada pengalaman individu dengan penggunaan bahasa.
·                     Struktur emosi berbeza mengikut intensiti (misalnya takut, panik); emosi ada persamaan (misalnya malu – segan); berbeza mengikut polariti (misalnya gembira –sedih).
·                     Emosi mempunyai konsep Derivatives – beberapa perkataan yang lain untuk menghuraikan emosi asal dalam konteks yang lain.
Kanak-kanak yang pada kali pertama melangkah ke alam persekolahan memikirkan bahawa sekolah mungkin satu pengalaman yang `susah’. Akan tetapi alam persekolah ini membantu;
i.                        Memperkembangkan `sense of hummor’ kerana ada banyak kawan
ii.                        Menjaga `harta’ dan berminat pada `collection – making’
iii.                        `Sense of concsience’ – dapat mengenalpasti yang baik dan yang jahat.
iv.                        Bersedia untuk memikul tanggungjawab `want to please and be good’.


4.1  Jenis, Faktor Dan Implikasi Emosi
Terdapat spektrum aneka jenis emosi dalam seseorang individu dari peringkat bayi hingga ke pringkat dewasa (Plutchik; 1978:8) Antara ekspresi emosi keriangan atau kegembiraan iaitu ketawa yang dipercayai oleh Mitch Rustad boleh mengurangkan kesedihan kanak-kanak yang sakit kanser atau HIV/AIDS.
4.2 Faktor Mempengaruhi Perkembangan Emosi
Faktor-faktor yang bertanggungjawab kepada variasi emosi ketakutan (fears  ) dalam diri kanak-kanak ialah;
1.      Kepintaran – mereka lebih peka kepada kemungkinan keadaan bahaya
2.       Jantina - kanak-kanak perempuan mempunyai ekspresi takut lebih daripada lelaki.
3.       Status sosio-ekonomi – kanak-kanak kelas rendah lebih takut kerana lebih terdedah kepada masalah dan keganasan
4.       Keadaan fizikal – kanak-kanak yang kelaparan, kepenatan dan keadaan fizikal yang tidak baik, mempunyai ketakutan yang lebih.
5.       Kontrak-kontrak sosial – kanak-kanak yang berada dalam kumpulan yang takut sama-sama terasa takut.
6.       Kedudukan ordinal dan keluarga – kanak-kanak sulung takut saingan dari adik-adiknya.
7.       Personaliti – kanak-kanak yang `insecure’ dan ekstrovet lebih takut daripada kanak-kanak yang lebih yakin pada diri sendiri.
Keadaan-keadaan yang menyumbangkan kepada dominasi emosi ialah seperti, kondisi kesihatan, iklim di rumah, asuhan kanak-kanak, perhubungan di kalangan ahli keluarga, pengaruh rakan sebaya, ibu bapa yang `over-protective’,spirasi ibu bapa, pemahaman dan bimbingan kesemuanya secara positif akan membantu membentuk emosi kanak-kanak yang lebih seimbang dan mulia.
Keadaan-keadaan yang menyumbangkan kepada Heightened Emotionality adalah kondisi-kondisi seperti keadaan fizikal, keadaan psikologi dan keadaan persekitaran. Keadaan fizikal merangkumi kesihatan yang buruk, malnutrisi, perubahan hormon mempengaruhi emosi; keadaan psikologikal merangkumi intelek yang rendah, kegagalan mencapai aspirasi, dan pengalaman kebimbangan; dan keadaan-keadaan persekitaran seperti tekanan, halangan, sikap ibu bapa dan iklim sekolah.
Apabila kita membincangkan emosi murid, kita mungkin berminat kepada kaedah-kaedah pembelajaran yang terlibat dalam pembangunan emosi. Pembelajaran berlaku melalui kaedah cuba-jaya, kaedah meniru, kaedah mengenalpasti, kaedah pelaziman dan kaedah latih-tubi (training)
4.3 Impikasi Ketidakseimbangan Emosi
Di antara implikasi emosi yang tinggi adalah seperti berikut;
·                     Tubuh tidak berfungsi dengan normal kerana ketidakseimbangan homeostatis
·                     Tingkahlaku yang kurang terurus
·                     Masalah pembacaan, kerja sekolah kurang memuaskan
·                     Affects perhubungan sosial dan social adjustments
·                     Personaliti dan konsep kendiri yang semakin bertambah buruk.
4.4 Kaedah Untuk Mengatasi Ketidakseimbangan Emosi
Kanak-kanak mempunyai beberapa cara untuk melepaskan tenaga emosi melalui;
·                     Moodiness dan tidak bermaya, melayan perasaan sendiri
·                     Sustitute response, melakukan kerja lain yang diterima oleh masyarakat
·                     Displacement – mengarahkan respons terhadap orang lain, haiwan, objek.
·                     Regression – berperangai seperti zaman kanak-kanak
·                     Emotional explosion – bertindak secara berani pada stimuli yang remeh.
Lazimnya peningkatan umur akan menyebabkan berlakunya kesedaran dalaman dan kemudiannya mengakibatkan seseorang itu berasa malu atau rasa bersalah. Bagi mengatasi masalah emosi pada tahap karthasis, ia dapat dilakukan dengan cara seperti berikut;
·                     Senaman atau penglibatan sukan lasak
·                     Pemahaman bagaimana senaman membantu kesejahteraan fizikl dan emosi
·                     Menangis di tempat dan waktu yang tertentu untuk melepaskan emosi
·                     Perhubungan yang rapat dengan seseorang ahli keluarga yang akan membantu kanak-kanak itu mengembangkan perspektif yang lebih matang.
·                     Mewujudkan perasaan lucu serta gelak ketawa terhadap diri sendiri
·                     Bersedia berbincang masalah dengan rakan yang terdekat
·                     Ibu bapa, guru dan masyarakat menyedari tentang sebab-sebab masalah berkaitan bangkitan emosi seseorang dan menghormatinya.
Rumusannya perkembangan emosi akan terus berlaku mengikut perkembangan usia seseorang individu. Variasi dalam emosi harus dikawal agara ia tidak menghasilkan gangguan atau ketidakseimbangan emosi pada diri individu. Di dalam proses pendidikan guru harus peka terhadap perkembangan emosi pelajar yang berbeza-beza dan ini mempunyai kesan langsung terhadap proses pembelajaran di dalam kelas. Pelbagai pendekatan boleh diguna dan diaplikasikan untuk menangani masalah emosi ini.
5.      Emosi – Berdasarkan Perspektif Islam
Meskipun banyak kajian yang dirujuk oleh pelajar dan sarjana dalam bidang emosi dan personaliti berpunca dari kajian-kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, terdapat beberapa hadis, kitab dan al-Quran yang menyebutkan berkaitan emosi. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus, emosi disebut-sebut beberapa kali dan diterima sebagai tingkahlaku manusia yang sememangnya ciri semulajadi manusia. Mohd Daud Hamzah (1990) mentakrifkan emosi sebagai proses integratif yang abstrak daripada gabungan proses Qalb, Nafs (Jiwa), Hawa dan Bangkitan yang berlaku serentak. Menurut Imam al-Ghazali (1982) emosi merupakan panaksiran tenaga berapi dari dalaman yang perlu dijana dengan sebaik mungkin. Segala bentuk dan variasi dalam emosi berpunca daripada perubahan dalam Nafs (jiwa) . Namun begitu tenaga dalaman seseorang individu juga berpunca daripada roh yang menyediakan nyawa kepada jasad untuk terus hidup dan berfungsi.
Oleh yang demikian roh dan nafs sangat mempengaruhi variasi emosi yang dihasilkan. Sifat dan keadaan antara roh serta nafs mengakibatkan perubahan dalam emosi seseorang. Keadaan ini menjadikan emosi seseorang berkeadaan stabil atau tidak stabil.
Hakikat kejadian manusia bermula apabila Allah meniupkan roh ke dalam jasad manusia dan kemudiannya manusia diberikan nafs yang membolehkan manusia hidup mempunyai hawa nafsu
"Mereka itulah orang-orang yang dituliskan oleh Allah keimanan di dalam hati mereka, dan diperlengkapkan mereka dengan roh daripada-Nya"
(Al-Mujadalah: 22)
Di dalam al-Quran juga banyak diperkatakan dengan kejadian jiwa manusia.
"Sesungguhnya jiwa itu suka menyuruh berbuat keburukan"
(Yusuf: 53)
Rumusannya di dalam Islam, kesetabilan jiwa dan roh menjadi tuntutan utama di dalam kehidupan kerana ia menjadi titik tolak kepada pembentukan emosi yang stabil dan tingkah laku yang stabil. Gangguan yang berlaku didalam jiwa dan roh seseorang akan menjadikan emosi individu tersebut terganggu. Gangguan inilah yang menyebabkan seseorang individu berkelakuan baik atau jahat. Walaupun diberikan akal untuk melakukan aktiviti pemikira, namum pengaruh jiwa dan roh ini sangat kuat sekali.
5.1 Roh Dan Nafs (Jiwa)
Jasad manusia memerlukan roh dan nafs untuk terus hidup. Sebenarnya roh bersifat lahutiyah (ketuhanan) manakala nafs (jiwa) bersifat nasutiyah (insani). Roh bersifat kekal dan tidak akan mati atau hancur lebur setelah jasad manusia tidak bernyawa. Manakala nafs (jiwa) bersifat sementara sahaja, kerana ia wujud selagi jasad bernyawa. Apabila jasad tidak bernyawa lagi, roh akan terus hidup dan akan kembali ke alam akhirat.
Roh bersifat lahutiyah dan tujuan utamanya ialah untuk mengajak ke alam akhirat. Oleh yang demikian roh sentiasa dijaga oleh para malaikat. Pada masa yang sama roh menjadikan hawa nafsu itu sebagai ikutan kepada jiwa, sedang syaitan pula menuruti jiwa dan hawa nafsu. Ibn Qayyim menyatakan jiwa hanya menuntut selain dari mengajak keduniaan (keseronokan) sahaja. Namun demikian Allah s.w.t terus menerus memberikan jiwa dan roh dengan ilhamNya dan taufiqNya.
Ibn Qayyim seterus menyatakan bahawa ilmu itu ada rohnya, sifat ihsan ada rohnya, sifat ikhlas ada rohnya, sifat cinta kepada Allah ada rohnya, sifat tawakal ada rohnya dan sifat benar ada rohnya. Pendek kata manusia itu sangat ketara sekali di dalam kepelbagaian roh-roh tersebut, maka menjadilah seorang yang rohani.
6.      Emosional Qualities ( EQ )
Dalam mendidik murid-murid perkembangan EQ (emosional qualities) sama pentingnya dengan perkembangan IQ.  Kalau IQ merujuk kepada kepintaran murid, EQ pula merujuk kepada kebolehan murid menangani konflik emosi mereka.  Tahap IQ seseorang boleh diukur melalui ujian-ujian tertentu tetapi EQ sebaliknya tidak mampu diukur.  Sehingga sekarang takrif yang tepat tentang EQ masih dicari.  Salovey dan Mayer mendefininisikan EQ sebagai, suatu subset dari kecerdasan sosial yang merujuk kepada kebolehan seseorang meneliti emosi atau perasaan dirinya atau orang lain, membezakan emosi ini dan menggunakannya sebagai panduan membentuk suatu cara fikir dan tindakan.
Dalam meniti kecemerlangan hidup, ramai pakar percaya bahawa 80% bergantung kepada kekuatan EQ dan hanya 20% sahaja berdasarkan ketinggian IQ.  Guru-guru pada awalnya mungkin diambil diterima sebagai guru kerana kebolehan IQ mereka tetapi hanya yang mempunyai EQ yang tinggi sahaja kelak yang cepat dinaikkan pangkat.  EQ lebih merujuk kepada ciri-ciri diri seperti:
  • Empati.
  • Meluahkan dan memahami perasaan.
  • Mengawal perasaan marah.
  • Berdikari.
  • Kebolehan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
  • Kebolehan menyelesaikan masalah pergaulan.
  • Persistensi iaitu sikap tidak mudah mengaku kalah.
  • Mudah mesra dan ramah.
  • Baik budi.
  • Pandai menghormati diri sendiri dan orang lain dan sebagainya.
Secara ringkasnya EQ  lebih condong kepada sikap, tingkahlaku dan peribadi seseorang individu.  
Kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga pendekatan utama yang sering diambil oleh guru dalam mendidik murid-murid iaitu sama ada secara keras, lembut atau sederhana.  Rasulullah s.a.w sendiri menyarankan agar kita mengambil jalan tengah atau bersederhana  dalam mendidik anak-anak.  Apa yang rasulullah s.a.w sarankan ini kini telah dibuktikan benar oleh masyarakat barat yang membuat kajian tentang pendidikan EQ ini.  Ada ketikanya kita perlu keras dengan anak-anak dan ada ketikanya pula kita perlu lebih memahami dan bertolak ansur.  Apabila guru bersikap empati dan membantu murid memahami dan mengatasi setiap perasaan negatif mereka (seperti marah, sedih, cemburu, memberontak, takut, malu dan sebagainya), guru sebenarnya telah membina kepercayaan dan kasih sayang dalam diri murid terhadap mereka.  Kepercayaan dan rasa kasih yang berputik ini perlu disuburkan dan dibajai kerana ia sebagai penyebab untuk murid mendengar nasihat dan menghormati kita sebagai guru.
Kita perlu faham, guru bersifat keibubapaan yang baik memerlukan lebih daripada pendekatan intelek.  Kita memerlukan pendekatan emosi.  Sebagai manusia, murid dan anak-anak (malah kita sendiri) membuat satu-satu keputusan itu berdasarkan alasan-alasan emosi.  Hanya sedikit sahaja boleh disandarkan atas alasan logik.  Misalnya, kita membeli kereta kerana memerlukan kenderaan untuk bergerak sama ada dihari panas atau hujan.  Kalau begitu kenapa tidak beli kereta yang ala kadar sahaja.  Kenapa mereka yang mampu akan membeli kereta yang lebih mahal, lebih besar dan berprestij?  Ini disebabkan kita mempunyai alasan emosi yang jauh lebih besar dari alasan lojik.  Sebagai manusia, murid-murid juga seperti kita.  Mereka akan mudah membuat keputusan atas alasan emosi.  Sebab itu ada pepatah yang mengatakan "cinta itu buta".  Sebab apabila seseorang dibawah pengaruh emosi maka daya inteleknya akan kurang dimanfaatkan.  Atas sandaran inilah maka guru perlu belajar bagaimana untuk menggunakan pengaruh emosi ini bagi membentuk, membimbing dan mendidik murid-murid.
Guru yang menggunakan pendekatan emosi biasanya melibatkan lima langkah utama iaitu:
  1. peka terhadap emosi murid;
  2. menyedari yang perubahan emosi murid sebagai peluang untuk merapatkan hubungan dan mendidik;
  3. mendengar secara empati, memahami dan mengesahkan apa yang sedang anak alami;
  4. membantu murid mengenali dan memahami emosi mereka sendiri;
  5. nyatakan dengan jelas batas atau tahap sesuatu emosi sambil mencari jalan menyelesaikan masalah yang timbul.
6.1 Guru Sebagai Ibubapa Di Sekolah
Murid  yang tinggi EQ akan menghargai setiap perasaan negatif yang terbit dari diri.  Perlu diingat, murid-murid yang membesar atas bimbingan sebegini bukan bermakna mereka tidak punya perasaan lagi.  Murid-murid masih tetap akan rasa marah, sedih, malu, takut dan sebagainya tetapi mereka akan punya kemahiran untuk menenangkan diri sendiri dan bangkit kembali setelah sesuatu kegagalan atau desakan.  Malah mereka akan lebih baik lagi selepas itu.  Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang dibesarkan melalui pendekatan bijak emosi ini lebih mampu bertahan dan meneruskan kehidupan meskipun berlaku penceraian ibu bapa.  Mereka lebih realistik dan mampu menerima kenyataan.  Sekiranya anak-anak diiringi pula dengan ajaran agama yang mantap maka pastinya mereka bakal menjadi orang yang cemerlang satu ketika nanti.
Guru  juga perlu faham, pendekatan bijak emosi bukanlah bermakna murid tidak perlu didisiplinkan lagi.  Sebaliknya apabila guru dan murid atau  ibu bapa dan anak saling percaya mempercayai maka bermakna telah terbentuk satu pengaruh yang kuat.  Ketika ini anda boleh gunakan pendekatan keras, apabila kekerasan diperlukan.  Apabila anak anda melanggar peraturan, bersikap kasar dan sebagainya anda perlu menegurnya.  Anda letakkan batas-batas tertentu tanpa ragu-ragu.  Anda tidak bimbang untuk menyatakan akan kekecewaan aanda dan anda tahu yang anak anda boleh lakukan lebih baik.  Disebabkan anda sentiasa gunakan pendekatan bijak emosi maka sekali anda bertegas, ketegasan dan kata-kata anda akan memberi kesan.  Anak-anak akan memahami kenapa anda berkelakuan demikian malah lebih menghormati anda.  Begitu juga anda boleh menjadi cukup penyayang apabila pendekatan memujuk secara lembut pula diperlukan.  Dengan pendekatan bijak emosi ini anak-anak
Pengalamanlah yang akan mengajar kita pendekatan mana yang lebih sesuai dalam keadaan-keadaan tertentu.  Beberapa perkara dibawah boleh dijadikan panduan:
  • Sekiranya anak anda dibesarkan dalam keadaan anda selalu marah atau membebel, maka marah anda dan bebelan anda sudah hilang makna kepada mereka.
  • Apabila anak anda mengaku secara jujur akan kesalahan dan kesilapan mereka, maka anda tidak sepatutnya marah.  Sebaliknya memahami mereka.  Sekiranya perbuatan mereka itu salah, maka perbetulkan dengan cara yang baik dan penuh kasih sayang.
  • Sekiranya anak anda melakukan kesalahan buat kali pertama, maka anda tidak boleh marah.  Sebaliknya gunakan pendekatan bijak emosi.  Tetapi kalau kesalahan yang sama berulang-ulang, ketika itu anda perlu bertegas dan gunakan kekerasan (bukan deraan).
  • Sekiranya kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pembentukan akhlak dan peribadinya, seperti mencuri, menipu, dan sebagainya maka gunakan ketegasan untuk mendisiplinkan anak.
  • Jangan biarkan sampai anak anda boleh menjangka apa reaksi atau tindakbalas anda terhadap kesalahan atau masalah mereka.  Mereka tidak pasti sama ada anda akan marah, diamkan atau menegur dengan baik.
  • Jangan marah setiap kali anak anda menceritakan masalah mereka, sebab sekiranya anda tidak melayan mereka dengan baik mereka akan menyangka yang anda bencikan masalah.  Ini membuatkan mereka tidak mahu berbincang dengan anda dilain masa.
  • Puji secara ikhlas dan suburkan setiap perkara baik yang ditunjukkan oleh anak anda.
Kaunseling juga merupakan proses menolong, murid dibimbing membuat keputusan sendiri. Dengan kata lain, guru bukannya semata-mata memberi nasihat atau maklumat malah lebih menjurus kepada proses introspeksi diri murid. Jadi kaunseling membantu seseorang murid:
·        Memahami dirinya dan situasinya
·        Mengenalpasti keperluannya
·        Menerima realiti hidupnya
·        Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya
·        Bertanggungjawab ke atas dirinya
·        Menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya 
7.  Kesimpulan Dan Penutup
Tugas guru semakin mencabar semasa menjalankan tugasnya sebagai 
pendidik. Dalam pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang membolehkan murid melibatkan diri secara aktif. Di samping itu ianya menjadikan proses pembelajaran berlaku dalam situasi yang bermakna,berfaedah dan menyeronokan.
Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan serta-merta kepada muridnya apabila mereka memperlihatkan tingkahlaku positif. Peneguhan ini boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti pujian, senyuman atau hadiah. Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi aras motivasi serta meningkatkan prestasi murid-muridnya. Guru juga harus mengetahui langkah-langkah yang praktikal sejajar dengan diri seseorang pelajar demi  hendak memenuhi kehendak pelajar.  Dengan itu kepuasan belajar dalam keperluan motivasi boleh dicapai seterusnya menanamkan minat pelajar mengembangkan potensinya.  Untuk mempertingkatkan lagi proses pengajaran    dan pembelajaran di dalam kelas, guru seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang pelajar dari aspek keseimbangan JERI.  Dengan menyedari keperluan seseorang pelajar guru dapat mengatur strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi kecemerlangan yang semaksimumnya. 
BIBLIOGRAFI
1. Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan           Pustaka.
2. Drs. Wasty Soemato (1987), Psikologi Pendidikan, Jakarta,  PT Bina
                Aksara. 
3. Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi Pendidikan Untuk
          Perguruan.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Lingren (1959), Psychology of Personal and Social Adjustment, Second
          Edition, New York. American Book Company.
5. Mok Soon Sang (2000). Nota dan Latihan Ilmu Pendidikan : Pendidikan
         di Malaysia dan Psikologi Pendidikan 1. Kuala Lumpur : Kumpulan
         Budiman Sdn. Bhd.
6. Moustakas (1953), Children in Play Therapy, New York, McGraw-Hill 
          Book Company.   
7. Rohaty Mohd. Majzud (1992), Psikologi Perkembangan,Kuala Lumpur, 
8. Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan.
          Kuala  Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd..
9.  Sufean Hussain (1993). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan
         Falsafah.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka